Lagi Aurat Dalam Quran

|
Sini

Friday, March 09, 2012

‘AURAT WANITA –
APAKAH TUDUNG DIPERINTAHKAN TUHAN?

(Versi yang dipinda dan diperpanjang sedikit.)

Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

9 Mac, 2012

Sejak revolusi Islam Iran pada 1979, 33 tahun dulu, nampaknya, kebanyakan wanita di Malaysia, malah di seluruh dunia, mulai memakai tudung, yakni menutup kepala mereka, atas alasan rambut wanita itu ‘aurat. Sebelum itu, adat wanita Melayu memakai selendang, yang dipakai di atas bahu tanpa menutup kepala, tetapi kadang-kadang selendang itu diletak di atas kepala, tanpa menutup semua kepala.
Perkataan ''aurat' itu berasal dari bahasa Arab. Satu daripada ertinya ‘kebogelan’, ‘kemaluan’. Berdasarkan erti ini, jika rambut wanita itu ‘aurat, ia mestilah ditutup.
Ada banyak bukti – yang bersifat langsung dan tidak langsung -- bahawa rambut wanita bukan ‘aurat.
Apabila kita mengambil wuduk, kita disuruh menyapu kepala, selain membasuh muka, membasuh dua tangan dari pergelangan tangan hingga ke siku, dan membasuh kedua-dua belah kaki. Ini menunjukkan bahawa kepala kita biasanya terdedah; maka kita disuruh menyapu debu yang terlekat di kepala. Ini bukti tidak langsung.
Bukti langsung dari ayat Quran. Perhatikan ayat ini: “Hai kamu yang beriman, apabila kamu mendirikan sembahyang, hendaklah kamu basuh muka kamu, basuh kedua belah tangan kamu hingga ke siku. Sapu kepala kamu dan basuh kedua belah kaki kamu hingga ke pergelangan kaki...” (5: 6)
Kedua-dua bukti ini menunjukkan tanpa ragu bahawa rambut wanita bukan ‘aurat.
Mari kita lihat perintah Tuhan tentang pakaian wanita. “Maklumkanlah kepada perempuan-perempuan mukmin supaya mereka menundukkan mata mereka dan memelihara kesopanan. Mereka hendaklah menutup anggota badan mereka, kecuali apa yang biasanya terbuka. Selendang mereka hendaklah dilabuhkan untuk menutup dada ...” (24: 31) (Perhatikan selendang atau tutup kepala itu adat yang wujud sebelum Islam dan diteruskan selepas Islam dalam zaman nabi Muhammad.)
Ayat di atas sangat jelas. Ia tidak menyatakan bahawa rambut wanita perlu ditutup. Rambut wanita bukan ‘aurat. Ia telah diisytiharkan sebagai ‘aurat setelah Revolusi Republik Islam Iran.
Harus diingat bahawa apa yang dipanggil Republik Islam Iran itu hanyalah sebuah teokrasi, yakni pemerintahan berdasarkan ulama, yang tidak dipilih oleh rakyat, tetapi yang sebaliknya dipaksakan ke atas rakyat. Dalam Islam tidak ada kasta ulama. Kasta ulama ini kita tiru dari penganut-penganut agama Hindu dan Kristian!
Namun demikian hasrat Iran untuk membangunkan tenaga nuklier, malah untuk membuat bom nuklier, jelas haknya yang sah (sehingga kuasa-kuasa nuklier Barat bersetuju untuk mengharamkan senjata nuklier).
Namun, masih tentang pakaian, perhatikan ayat ini: "Hai anak Adam, Kami telah mengadakan bagi kamu pakaian untuk menutup kebogelan kamu, dan untuk kecantikan, tetapi pakaian yang paling baik itu pakaian takwa..." (Quran, 7: 26). Jadi, ada tiga peringkat pakaian: menutup 'aurat (peringkat rendah); kecantikan (peringkat keuda); dan untuk memelihara dari kejahatan (peringtakat tertinggi). Peringkat tetinggi ketiga meliputi dua peringkat yang bawah. Sangat cantik susunannya, bukan?
Seperti yang telah saya nyatakan di atas, sebelum revolusi Iran, wanita-wanita Melayu tidak memakai tudung. Adakah cendekiawan-cendekian Islam sebelum ini jahil? Tentu tidak! Maka perlulah cendekiawan-cendekiawan Islam sekarang membetulkan kesilapan ini.
Harus dingat agama Islam itu agama kebenaran (Ar. din’ul-haq) dan agama Allah (Ar. din’ul-Lah). Seperti yang diisytiharkan dalam ayat 19, Surah Ali-‘Imran (3), “Agama di sisi Allah itu Islam.”
Agama Islam berdiri di atas konsep tauhid. Tauhid itu percaya, berpegang dan mengamalkan ajaran bahawa Tuhan itu Satu, tiada Tuhan melainkan Dia, dan kita tiada menyembah yang lain, kecuali Dia. Tanpa pegangan ini, semua kerja kita, termasuk amal ‘ibadah, seperti sembahyang dan lain-lain itu, batal dan tidak sah! Siapa yang tidak tahu ini tidak tahu Islam.
Bandingkan pegangan tauhid dengan amalan baru kaum wantia menutup kepala! Namun demikian, terdapat sesetengah kaum wanita kita yang membungkus kepala mereka yang merasa diri mereka begitu mulia dan suci! Ini bukan prasangka saya, tetapi realiti yang dinyatakan kepada saya oleh kaum wanita sendiri.
Menutup kepala kita seperti itu nyata tidak sihat, kerana udara bersih tidak boleh meniup ke kepala kita. Kepala kita juga akan berbau busuk kerana tidak mendapat udara bersih itu. Sebab itu kita dilarang berlebih-lebihan apabila melakukan sesuatu. Tuhan telah meletakkan satu sempadan (Ar. hudud’ul-Lah) dalam semua perbuatan kita. Hendaklah kita jangan melanggar sempadan ini untuk mengelak kemudaratan. Sila lihat risalah saya yang bertajuk Kontroversi Hukum Hudud (Pulau Pinang: 2002).

------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment