Dari link ini
ISA
Islam
APAKAH PANDANGAN ISLAM
TERHADAP AKDN?
AKDN merupakan
undang-undang pencegahan. Dalam Islam, mencegah sesuatu kemudaratan
daripada berlaku merupakan tanggungjawab pemerintah. Pemerintah perlu
bertindak atas dasar memelihara maslahat (kepentingan) ummah. Dalam
kaedah fiqh disebut tasorruful imam ala ar-ra’ieyat manutun bil
maslahah. Ia bermakna setiap tindakan atau dasar yang diputuskan oleh
pemerintah mesti diasaskan bagi menjaga kepentingan rakyat.
Dalam
menentukan kepentingan ini, pemerintah melihat kepada kepentingan hak
majoriti rakyat yang perlu diberi keutamaan berbanding hak asasi seorang
atau sekelompok rakyat. Ini bermakna, undang-undang pencegahan memang
menjadi tanggungjawab pemerintah dan ia selari dengan tuntutan Islam.
Yang
selalu dipertikaikan adalah tahanan tanpa bicara. Kita mempunyai
pelbagai undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa seseorang
seperti Akta Hasutan 1948dan Kanun Keseksaan. Kerajaan pun sudah
mengambil pendirian mengkaji semula AKDN supaya tahanan tanpa bicara itu
dilakukan dengan lebih teliti. Ini supaya tidak ada ruang berlaku salah
guna kuasa.
ADAKAH AKDN MENEPATI SIASAH SYARIAH?
(Sistem
Politik Islam)
Undang-undang bersumberkan Al-Quran dan
Sunnah yang tidak bertentangan dengan ketetapan dan maksud umum Syariah
adalah sah di sisi Islam.
Siasah Syariah menurut IBNU AQIL:
“Siasah
Syariah ialah apa-apa tindakan yang membawa manusia kepada kebaikan dan
menjauhkan mereka daripada keburukan walau pun ia tidak ditetapkan oleh
Rasulullah S.A.W dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan”.
Siasah
Syariah menurut IBNU NAJM:
“Siasah syariah ialah sesuatu tindakan
yang diambil oleh pemerintah menurut pandangannya boleh menjaga
kepentingan umum walau pun tidak terdapat dalil yang khusus
mengenainya”.
Daripada takrif-takrif di atas dapat difahami
bahawa di bawah prinsip Siasah Syariah ini, pemerintah mempunyai kuasa
yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan serta larangan untuk
menjaga kepentingan umum. Ia mestilah berasaskan kepada pandangan dan
penilaian pemerintah sendiri, sepertimana yang ditekankan oleh Ibnu Najm
dalam takrifnya “Limaslahatin yaraha” (kerana sesuatu kepentingan umum
mengikut pandangannya).
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN
DENGAN PRINSIP
Sad Az Zara’ie?
“MEMBENDUNG PUNCA KEBURUKAN”
Prinsip
ini diterima oleh semua imam mazhab seperti yang dijelaskan oleh Syeikh
Mahmud Abu Zaharah dalam Kitabnya “Usul Fiqh”:
“Ini adalah
satu daripada prinsip-prinsip yang disebut di dalam kitab-kitab mazhab
Maliki dan Hambali. Manakala kitab-kitab yang lain tidak menyebutnya
dengan mengunakan tajuk seperti ini, namun isi kandungan yang
dibincangkan dalam bab ini diterima dalam fekah Hanafi dan Syafi’ie
sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam bahagian-bahagian tertentu
dan persetujuan dalam bahagian-bahagian yang lain”.
Syeikh
Mutawalli Hammadah mentakrifkan “Sad Az Zara’ie” sebagai:
“Menghalang
sebarang wasilah atau punca yang membawa kepada perbuatan yang haram
dan memberikan hukum haram kepada jalan-jalan yang membawa kepada
perbuatan tersebut”.
Syeikh Mustafa Az Zarqa’ menjelaskan :
“Sesungguhnya
para fuqaha’ berpendapat bahawa perintah sultan (pemerintah) wajib di
sisi syarak diterima dan dilaksanakan, sekalipun ia menyempitkan
tafsiran bagi perkataan yang luas sifat liputannya atau menerima
pendapat yang tidak kuat dalam masalah-masalah hukum
di mana
para ulamak berbeza pendapat mengenainya. Selama mana perintah tersebut
berasaskan kepada kepentingan umum dan keputusannya terpulang kepada
ijtihad pemerintah sendiri. Ini sesuai dengan satu prinsip dalam usul
fiqh yang dikenali dengan “Al Masalih Al Murssalah”.
Dalam
perkara-perkara yang tidak jelas faedahnya juga, keputusan pemerintah
wajib ditaati.
Imam Al Kasani menjelaskan:
“Jika sesuatu
perintah yang dikeluarkan oleh Ketua Negara itu tidak diketahui orang
ramai sama ada berfaedah atau tidak, maka wajib bagi mereka mematuhinya
jika tidak diketahui dengan jelas, bahawa yang diperintahkan itu adalah
suatu perbuatan maksiat. Ini kerana mematuhi Ketua Negara dalam
perkara-perkara yang diputuskan melalui ijtihad adalah wajib”.
Pemerintah
mempunyai hak untuk mengenakan larangan terhadap perkara-perkara yang
harus demi menjaga maslahat dan kepentingan umum. Apabila larangan
dilaksanakan, maka wajib ke atas umat mentaatinya dan haram bagi mereka
mengingkarinya.
As Syeikh Khalid bin Al Anbari menyatakan:
“Wajib
taat kepada pemerintah Islam apabila ia menghadkan penggunaan perkara
yang harus, yang mana pada pandangannya larangan tersebut dilaksanakan
demi kepentingan umum. Saiyidina Umar R.A. pernah mengeluarkan larangan
terhadap para sahabat yang utama supaya tidak meninggalkan Madinah.
Demikian juga Saiyidina Uthman R.A. pernah memerintahkan Abu Zar supaya
keluar dari negeri Syam dan menetap di Madinah”.
ADAKAH
AKDN MENJEJASKAN IMEJ ISLAM?
Bantahan yang dilancarkan
oleh sesetengah pihak terhadap akta ini atas nama Islam adalah hasil
dari kegagalan mereka dalam memahami perbezaan dan fungsi antara dua
kuasa iaitu kuasa eksekutif (As Sultah At Tanfiziah) dan kuasa
perundangan (As Sultah Al Qada’iah).
Kedua bidang ini mempunyai
bidang kuasa dan pendekatan yang berbeza dalam menjalankan fungsi
masing-masing disebabkan peranan dan tanggungjawab yang berbeza.
Para
ulamak yang membicarakan mengenai sistem politik Islam atau “As Siasah
As Syariah” telah menghuraikan peranan serta bidang kuasa Ketua Negara
dalam menjalankan tugasnya.
Imam Al Qarafi menyatakan:
“Pemerintah
adalah orang yang diserahkan kepadanya mentadbir seluruh urusan rakyat,
menjaga kepentingan umum dan membenteras segala yang merosakkan,
mengekang penjenayah, membunuh penderhaka dan menguruskan penempatan
rakyat dalam negara dan perkara-perkara lain yang seumpamanya”.
Daripada
huraian di atas dapat disimpulkan bahawa tanggungjawab pemerintah dalam
Islam begitu besar. Bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini,
Ketua Negara sudah tentu mempunyai bidang kuasa yang diperlukan tanpa
diikat oleh prosedur-prosedur ketat seperti di dalam bidang kehakiman.
Antara
bidang kuasa yang menjadi tanggungjawab Ketua Negara ialah kuasa
hisbah.
Imam al-Mawardi menyatakan bahawa hisbah adalah menyeru
kepada makruf (kebaikan), mencegah daripada perbuatan mungkar
(keburukan) dan mendamaikan antara manusia.
Mengikut para ilmuan
moden, hisbah merupakan satu peraturan daripada beberapa peraturan
Islam. Sebagai contohnya, dalam konteks hisbah ini satu badan pengawasan
khas diwujudkan oleh pemerintah untuk menjalankan peranan bagi
mengawasi dan memeriksa semua keperluan manusia seperti perdagangan,
jalanraya, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk
mengekalkan keadilan dan kemuliaan bersesuaian dengan tuntutan syariat
dan keperluan masyarakat setempat.
Ibnu Al Qayyim menjelaskan
kuasa hisbah ini melalui kitabnya “At Thuruk Al Hukmiyah”:
“Dan
maksud hukum-hukum yang dijalankan di bawah kuasa hisbah adalah
merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai
kaedah-kaedah perlaksanaan di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin
tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Perlaksanaan seperti ini
tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur
sedemikian diikuti, maka kepentingan umat akan musnah dan sistem
pemerintahan akan menjadi kucar-kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan
kuasa ini berasaskan petanda-petanda dan alamat-alamat yang jelas serta
bukti-bukti (karinah-karinah) yang boleh dijadikan keterangan”.
APAKAH
ADA PERUNTUKAN SYARIAH ISLAM MEMBENARKAN TANGKAPAN DAN TAHANAN TANPA
BICARA?
Di bawah kuasa ini, pemerintahan dalam Islam
boleh menahan seseorang tanpa bicara atas sebab kepentingan umum dan
keselamatan negara.
Dr. Saud bin Said Ad Duraib dalam
kitabnya”At Tanzim Al Qada’Fi Al Mamlakah As Saudiyyah” menghuraikan
persoalan ini:
“Seseorang ketua negara dengan kuasa eksekutif
boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia
juga boleh mengasingkan (memenjara atau memencilkan) orang yang boleh
menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh
Saiyidina Umar R.A. terhadap Sobiq bin Asal kerana usahanya mengelirukan
orang ramai tentang Al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan
membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh memudaratkan
masyarakat”.
Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang
bermaksud:
“Akan wujud keadaan kacau bilau di kalangan umat, maka
barang siapa yang ingin memecah belahkan perpaduan umat yang bersatu,
hendaklah ia dipancung dengan pedang tanpa mengira siapakah orangnya”.
Imam
Nawawi ketika menghuraikan hadis di atas mengatakan: “maknanya” ialah
jika tidak dapat ditolak perbuatan tersebut melainkan dengan cara yang
sedemikian (bunuh). “Sahih Muslim Bisyarh An Nawawi”.
Subscribe to:
Posts (Atom)