ISA Mengikut Islam

|
Dari link ini ISA Islam

APAKAH PANDANGAN ISLAM
TERHADAP AKDN?

AKDN merupakan undang-undang pencegahan. Dalam Islam, mencegah sesuatu kemudaratan daripada berlaku merupakan tanggungjawab pemerintah. Pemerintah perlu bertindak atas dasar memelihara maslahat (kepentingan) ummah. Dalam kaedah fiqh disebut tasorruful imam ala ar-ra’ieyat manutun bil maslahah. Ia bermakna setiap tindakan atau dasar yang diputuskan oleh pemerintah mesti diasaskan bagi menjaga kepentingan rakyat.

Dalam menentukan kepentingan ini, pemerintah melihat kepada kepentingan hak majoriti rakyat yang perlu diberi keutamaan berbanding hak asasi seorang atau sekelompok rakyat. Ini bermakna, undang-undang pencegahan memang menjadi tanggungjawab pemerintah dan ia selari dengan tuntutan Islam.

Yang selalu dipertikaikan adalah tahanan tanpa bicara. Kita mempunyai pelbagai undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa seseorang seperti Akta Hasutan 1948dan Kanun Keseksaan. Kerajaan pun sudah mengambil pendirian mengkaji semula AKDN supaya tahanan tanpa bicara itu dilakukan dengan lebih teliti. Ini supaya tidak ada ruang berlaku salah guna kuasa.


ADAKAH AKDN MENEPATI SIASAH SYARIAH?
(Sistem Politik Islam)


Undang-undang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah yang tidak bertentangan dengan ketetapan dan maksud umum Syariah adalah sah di sisi Islam.

Siasah Syariah menurut IBNU AQIL:

“Siasah Syariah ialah apa-apa tindakan yang membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan walau pun ia tidak ditetapkan oleh Rasulullah S.A.W dan tidak terdapat dalam wahyu yang diturunkan”.

Siasah Syariah menurut IBNU NAJM:
“Siasah syariah ialah sesuatu tindakan yang diambil oleh pemerintah menurut pandangannya boleh menjaga kepentingan umum walau pun tidak terdapat dalil yang khusus mengenainya”.

Daripada takrif-takrif di atas dapat difahami bahawa di bawah prinsip Siasah Syariah ini, pemerintah mempunyai kuasa yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan serta larangan untuk menjaga kepentingan umum. Ia mestilah berasaskan kepada pandangan dan penilaian pemerintah sendiri, sepertimana yang ditekankan oleh Ibnu Najm dalam takrifnya “Limaslahatin yaraha” (kerana sesuatu kepentingan umum mengikut pandangannya).


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PRINSIP
Sad Az Zara’ie?
“MEMBENDUNG PUNCA KEBURUKAN”


Prinsip ini diterima oleh semua imam mazhab seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Mahmud Abu Zaharah dalam Kitabnya “Usul Fiqh”:

“Ini adalah satu daripada prinsip-prinsip yang disebut di dalam kitab-kitab mazhab Maliki dan Hambali. Manakala kitab-kitab yang lain tidak menyebutnya dengan mengunakan tajuk seperti ini, namun isi kandungan yang dibincangkan dalam bab ini diterima dalam fekah Hanafi dan Syafi’ie sekalipun terdapat perbezaan pendapat dalam bahagian-bahagian tertentu dan persetujuan dalam bahagian-bahagian yang lain”.

Syeikh Mutawalli Hammadah mentakrifkan “Sad Az Zara’ie” sebagai:

“Menghalang sebarang wasilah atau punca yang membawa kepada perbuatan yang haram dan memberikan hukum haram kepada jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan tersebut”.

Syeikh Mustafa Az Zarqa’ menjelaskan :

“Sesungguhnya para fuqaha’ berpendapat bahawa perintah sultan (pemerintah) wajib di sisi syarak diterima dan dilaksanakan, sekalipun ia menyempitkan tafsiran bagi perkataan yang luas sifat liputannya atau menerima pendapat yang tidak kuat dalam masalah-masalah hukum

di mana para ulamak berbeza pendapat mengenainya. Selama mana perintah tersebut berasaskan kepada kepentingan umum dan keputusannya terpulang kepada ijtihad pemerintah sendiri. Ini sesuai dengan satu prinsip dalam usul fiqh yang dikenali dengan “Al Masalih Al Murssalah”.

Dalam perkara-perkara yang tidak jelas faedahnya juga, keputusan pemerintah wajib ditaati.

Imam Al Kasani menjelaskan:

“Jika sesuatu perintah yang dikeluarkan oleh Ketua Negara itu tidak diketahui orang ramai sama ada berfaedah atau tidak, maka wajib bagi mereka mematuhinya jika tidak diketahui dengan jelas, bahawa yang diperintahkan itu adalah suatu perbuatan maksiat. Ini kerana mematuhi Ketua Negara dalam perkara-perkara yang diputuskan melalui ijtihad adalah wajib”.

Pemerintah mempunyai hak untuk mengenakan larangan terhadap perkara-perkara yang harus demi menjaga maslahat dan kepentingan umum. Apabila larangan dilaksanakan, maka wajib ke atas umat mentaatinya dan haram bagi mereka mengingkarinya.

As Syeikh Khalid bin Al Anbari menyatakan:

“Wajib taat kepada pemerintah Islam apabila ia menghadkan penggunaan perkara yang harus, yang mana pada pandangannya larangan tersebut dilaksanakan demi kepentingan umum. Saiyidina Umar R.A. pernah mengeluarkan larangan terhadap para sahabat yang utama supaya tidak meninggalkan Madinah. Demikian juga Saiyidina Uthman R.A. pernah memerintahkan Abu Zar supaya keluar dari negeri Syam dan menetap di Madinah”.


ADAKAH AKDN MENJEJASKAN IMEJ ISLAM?

Bantahan yang dilancarkan oleh sesetengah pihak terhadap akta ini atas nama Islam adalah hasil dari kegagalan mereka dalam memahami perbezaan dan fungsi antara dua kuasa iaitu kuasa eksekutif (As Sultah At Tanfiziah) dan kuasa perundangan (As Sultah Al Qada’iah).

Kedua bidang ini mempunyai bidang kuasa dan pendekatan yang berbeza dalam menjalankan fungsi masing-masing disebabkan peranan dan tanggungjawab yang berbeza.

Para ulamak yang membicarakan mengenai sistem politik Islam atau “As Siasah As Syariah” telah menghuraikan peranan serta bidang kuasa Ketua Negara dalam menjalankan tugasnya.

Imam Al Qarafi menyatakan:

“Pemerintah adalah orang yang diserahkan kepadanya mentadbir seluruh urusan rakyat, menjaga kepentingan umum dan membenteras segala yang merosakkan, mengekang penjenayah, membunuh penderhaka dan menguruskan penempatan rakyat dalam negara dan perkara-perkara lain yang seumpamanya”.

Daripada huraian di atas dapat disimpulkan bahawa tanggungjawab pemerintah dalam Islam begitu besar. Bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini, Ketua Negara sudah tentu mempunyai bidang kuasa yang diperlukan tanpa diikat oleh prosedur-prosedur ketat seperti di dalam bidang kehakiman.

Antara bidang kuasa yang menjadi tanggungjawab Ketua Negara ialah kuasa hisbah.

Imam al-Mawardi menyatakan bahawa hisbah adalah menyeru kepada makruf (kebaikan), mencegah daripada perbuatan mungkar (keburukan) dan mendamaikan antara manusia.

Mengikut para ilmuan moden, hisbah merupakan satu peraturan daripada beberapa peraturan Islam. Sebagai contohnya, dalam konteks hisbah ini satu badan pengawasan khas diwujudkan oleh pemerintah untuk menjalankan peranan bagi mengawasi dan memeriksa semua keperluan manusia seperti perdagangan, jalanraya, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk mengekalkan keadilan dan kemuliaan bersesuaian dengan tuntutan syariat dan keperluan masyarakat setempat.

Ibnu Al Qayyim menjelaskan kuasa hisbah ini melalui kitabnya “At Thuruk Al Hukmiyah”:

“Dan maksud hukum-hukum yang dijalankan di bawah kuasa hisbah adalah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaedah perlaksanaan di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Perlaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian diikuti, maka kepentingan umat akan musnah dan sistem pemerintahan akan menjadi kucar-kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berasaskan petanda-petanda dan alamat-alamat yang jelas serta bukti-bukti (karinah-karinah) yang boleh dijadikan keterangan”.


APAKAH ADA PERUNTUKAN SYARIAH ISLAM MEMBENARKAN TANGKAPAN DAN TAHANAN TANPA BICARA?

Di bawah kuasa ini, pemerintahan dalam Islam boleh menahan seseorang tanpa bicara atas sebab kepentingan umum dan keselamatan negara.

Dr. Saud bin Said Ad Duraib dalam kitabnya”At Tanzim Al Qada’Fi Al Mamlakah As Saudiyyah” menghuraikan persoalan ini:

“Seseorang ketua negara dengan kuasa eksekutif boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia juga boleh mengasingkan (memenjara atau memencilkan) orang yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saiyidina Umar R.A. terhadap Sobiq bin Asal kerana usahanya mengelirukan orang ramai tentang Al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh memudaratkan masyarakat”.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

“Akan wujud keadaan kacau bilau di kalangan umat, maka barang siapa yang ingin memecah belahkan perpaduan umat yang bersatu, hendaklah ia dipancung dengan pedang tanpa mengira siapakah orangnya”.

Imam Nawawi ketika menghuraikan hadis di atas mengatakan: “maknanya” ialah jika tidak dapat ditolak perbuatan tersebut melainkan dengan cara yang sedemikian (bunuh). “Sahih Muslim Bisyarh An Nawawi”.